Thursday, August 17, 2017

PUNCA AIMAN MENGHIDAP DIABETES

Entri #18
Teks : Musba Hanim Haron
Foto : Koleksi peribadi/Carian Google

Alhamdulillah... Hujan membasahi bumi di pagi ini.

Hampir 6 bulan Aiman menghidap Diabetes. Hampir 6 bulan juga Aiman mula ambil insulin sebelum makan dan sebelum tidur malam. Ramai yang bertanya macamana boleh tahu Aiman kena Diabetes.

Untuk tahu kisah ini boleh ke link ini 

Gajet insulin Aiman.. (",)
Banyak juga yang tanya akan  soalan yang sama di bawah.

­čĹŽAiman umur berapa?
­čĹŽAiman suka minum air gas ke?
­čĹŽAiman suka makan manis2 ke?
­čĹŽAiman obes ke?
­čĹŽAda keturunan/genetik ke?

Aiman sekarang 10 tahun. Adakah pertanyaan-pertanyan di atas puncanya?

Pada mulanya ummi sendiri ingatkan pengambilan makanan manis menjadi punca penyakit Aiman. Terfikir dengan anak-anak yang lain. Sehingga Suami pun mengambil keputusan untuk periksa anak-anak yang lain.

Setelah doktor-doktor HTAR mengambil maklumat dari Ummi dan suami barulah doktor menerangkan punca Aiman menghidap Diabetes. Allah, seperti tidak percaya apa yang diterangkan oleh doktor. 

Secara ringkasnya, di bawah ini adalah punca Diabetes Type 1.

========================================================================
Punca sebenar Diabetes Type 1 tidak diketahui. Dalam kebanyakan mereka yang menghidap Diabetes Type 1, sistem imun dalam badan yang biasanya melawan bakteria dan virus berbahaya tersilap memusnahkan sel-sel insulin dalam pankreas.
========================================================================

Itulah yang doktor bagitau Ummi dan Suami. Ummi mencari juga informasi berkaitan Diabetes Type 1. Ummi share sikit di bawah ni ye. Sumber dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. Untuk makluman kita semua. Selama ni ingat punca sama macam orang dewasa. Rupanya tidak..

Sumber dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
Alhamdulillah, kini Ummi dan Suami menerima ujian ini dengan redha. Banyak hikmah dan nikmat yang Allah berikan dari ujian ini. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada Ummi dan Suami sepanjang Aiman ditahan di HTAR dan sehingga kini.

Ujian yang hadirnya seribu nikmat. Wallahua'lam.

Wednesday, August 16, 2017

AIMAN - DIABETES TYPE 1

Entri #17
Teks : Musba hanim Haron
Foto : Koleksi Peribadi

AIMAN MUIZ BIN MOHD HILMI. Anak sulong Ummi dan Ayah. Mungkin ini satu dugaan hebat buat kita semua. Namun Ummi anggap dugaan yang hadirnya seribu nikmat dari Ilahi.

Terima kasih Allah. Syukur atas kurniaanMu ini. Ampunkan dosa kami sekiranya dugaan yang Engkau beri sebagai kifarah atas khilaf & kelalaian kami. Teguhkan iman kami sekiranya ia sebagai tarbiyah dariMu.

Ummi titipkan sedikit kisah Aiman disahkan mengidap Diabetes Type 1. 

Awal Februari 2017
Ummi mula perasan perubahan Aiman dari Februari 2017 lagi. Sentiasa letih, kerap buang air kecil terutamanya waktu malam dan makan sangatlah banyak/kerap. Perubahan ketara apabila badan amat susut mendadak.


28 Feb 2017
Hati semakin resah dengan keadaan Aiman. Ummi bawa ke klinik berdekatan. Dari simptom2 yang Ummi bagitau, doktor minta untuk buat ujian gula. Alangkah terkejutnya bacaan "HI". Doktor terus buat surat dan nasihatkan untuk rujuk segera ke hospital berdekatan. Tidak terkata apa melainkan air mata deras mengalir.


1 Mac 2017
Ummi dan Ayah bawa Aiman ke Hospital Ampuan Rahimah, Klang (HTAR). Selepas dirujuk ke Bahagian Kecemasan dan pemeriksaan dilakukan, doktor menyatakan tahap gula Aiman masih dalam keadaan normal. Namun Ummi perlukan kepastian ketika itu. Adakah ada kesilapan bacaan ketika di klinik atau di hospital.

Setelah berbincang dengan doktor, doktor memberi surat untuk pemeriksaan selanjutnya di klinik kesihatan yang berdekatan pada esok harinya dengan mengikut prosedur iaitu berpuasa pada malamnya.

2 Mac 2017
Keesokannya Ummi dan Ayah bawa Aiman ke Klinik Kesihatan Bandar Botanic, Klang. Alhamdulillah, dengan bantuan rakan yang bekerja di situ urusan pemeriksaan Aiman begitu mudah dan cepat.

Doktor yang memeriksa Aiman terkejut kerana bacaan gula Aiman tinggi dan darah mula berasid. Aiman terus dihantar ke Zon Kritikal HTAR dengan bantuan ambulans. Tangan mula dimasukkan air. Tuhan sahaja tahu perasaan Ummi ketika itu. Tiada lagi air mata nak ditangisi. Cuma redha dan kesembuhan yang Ummi pinta dariNya.

Aiman ketika dalam ambulans

2-4 Mac 2017
Aiman dipindahkan ke Wad NICU. Aiman disahkan Diabetes Type 1. Selama tiga hari Aiman di NICU. Perlu pemantauan 24 jam oleh doktor dan jururawat. Ummi bersyukur sangat-sangat kerana doktor mengatakan Aiman bernasib baik kerana pada tahap kritikal itu Aiman masih sedar. Kebiasaannya, pada tahap seperti itu pesakit dah pengsan atau tidak ingat. Kiranya satu 'miracle' untuk Aiman. Terima kasih Allah..

Aiman ketika di NICU

4 - 28 Mac 2017
Aiman mula cucuk insulin. Itulah akan diambil sepanjang hidup Aiman nanti. Makan jua dipantau oleh pakar diet HTAR. Aiman juga perlu catat bacaan gula, dos insulin yang diambil dan menu makan yang diambil.

Set insulin untuk Aiman

28 Mac 2017
"Akhirnya Abang dapat pijak tanah Ummi.."

Alhamdulillah... Itulah ayat yang keluar dari mulut Aiman. Segalanya dipermudahkan. Aiman dapat keluar hospital setelah 26 hari berada di Ward 6A, HTAR. Terima kasih yang mendoakan kami sekeluarga...
Terima kasih Allah...
Terima kasih semua..

Sehingga kini Aiman masih di bawah pemantauan hospital. Doakan kesihatan dan kesejahteraan Aiman.



Monday, August 14, 2017

UJIAN YANG HADIRNYA SERIBU NIKMAT

Entri #16
Teks : Musba Hanim Haron
Foto : Koleksi peribadi

Alhamdulillah,

Selesai urusan temujanji Ummi, Ayah dan Aiman dengan doktor pakar hari ini di Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang. Dapat buku & info dari PPUM yang sangat-sangat bermanfaat. Masih perlu lagi belajar kiraan karbo & insulin. Masih banyak perlu digali & dipraktik.

Buku yang diperolehi dari Doktor Pakar


Semalam baru berborak dengan kawan Ummi yang punyai anak yang sakit. Ummi setuju dengan pendapat beliau. Ujian emosi yang paling mencabar dalam hadapi situasi kami ini. Harap kami dapat bertenang dalam segala hal.

Masih ramai yang bertanya kenapa Aiman dihidapi diabetes @ kencing manis. Baru 10 tahun. Kalau tak berlaku pada Ummi sekeluarga, Ummi pun akan bertanya soalan yang sama. In shaa Allah Ummi akan cerita di entri akan datang. Nak kumpul juga ilmu baru yang Allah bagi ni.

UJIAN yang hadirnya seribu NIKMAT. Wallahu'alam

Aiman, Diabetes Type 1

Saturday, August 12, 2017

DULU VS KINI

Entri #15
Teks : Musba Hanim Haron
Foto : Koleksi peribadi

Salam hujung minggu.

Asalnya menjahit adalah sekadar mengisi hobi dan minat Ummi yang telah lama terpendam. Walaupun ummi pernah berdoa untuk menjadi tukang jahit dan membuka kedai jahit. Namun tidak terfikir langsung akan serius menjadi satu cabang bisnes. 

Ummi mulakan bisnes dari tahun 2009. Bermula dari bisnes kecil-kecilan sebagai hobi serta minat dalam menjahit dan kraftangan. Pelbagai percubaan telah dilakukan dalam mencari minat, kemahiran dan kesabaran dalam menghasilkan produk Ummi. Dari menjahit manik, buat dan alter awning tudung, menjahit baju dan telekung, buat brooch sehinggalah menjahit langsir dan cadar telah dibuat. 

Dari Ummi menjahit sendiri di rumah dan membeli mesin industri sedikit demi sedikit menggunakan gaji bulanan sebagai penjawat awam. Kemudian beroperasi di kedai kecil dengan bantuan tukang jahit dari seorang menjadi 4 orang. Pada ketika itu Ummi banyak fokus pada tempahan pukal. Hanya ambil sedikit tempahan individu baik online ataupun offline. Produk yang Ummi fokus ketika itu adalah telekung dan tudung.

Ketika di kedai kecil

Tailor yang mula-mula bekerja dengan Ummi
Alhamdulillah, setahun yang lalu, Ummi dan suami dengan izinNya dapat menyewa sebuah kedai yang lebih besar. Angan-angan sekali lagi menjadi kenyataan. Kini kedai yang Ummi sewa dijadikan tempat menjahit dengan bantuan tukang jahit yang setia dengan Ummi dan juga ruang jualan bagi yang ingin kunjungi kedai Ummi. Ummi berharap agar LITUPI by Hanim Creation terus maju ke hadapan demi manfaat bersama dan niat untuk berkongsi rezeki dengan yang lain.

In shaa Allah. Terima kasih Allah atas kurniaan ini.

Ketika kedai dalam renovation
 
Kerja-kerja memasang rak dan mesin jahit

Tailor yang setia bersama Ummi sehingga kini

Ruang jualan

Signboard yang telah dipasang

Friday, August 11, 2017

TELEKUNG UNTUK SI MATI

Entri #14
Teks : Musba Hanim Haron
Foto : Koleksi Peribadi

Ya Allah, bilakah ajalku. Ku harapkan husnulkhotimah di akhir hayatku Ya Allah...
Hari ni asyik fikir mati.

Sebab....

Sebab jahit tempahan telekung untuk orang mati. Insaf sebentar.

Telekung yang telah siap dibuat
Inilah kali pertama Ummi dapat tempahan telekung untuk orang mati. Semasa pelanggan telefon untuk menempah agak terkejutlah Ummi. Ingat sama sahaja dengan telekung yang biasa kita pakai. Pelanggan datang bersama ibunya membawa contoh telekung. 

Ibu pelanggan adalah ketua bagi pengurusan jenazah bagi wanita Islam di tempat Ummi. Bagi Ummi ini adalah pengalaman berharga bagi Ummi. tak terfikir akan buatkan telekung untuk si mati.

Wallahu'alam..

Rupa kejadian telekung si mati

11 OGOS 2017 - GENAP ALIF NAJMI 9 TAHUN

Entri #13
Teks : Musba Hanim Haron
Foto : Koleksi peribadi

Alhamdulillah..

Genap 9 tahun arjuna kedua Ummi ALIF NAJMI BIN MOHD HILMI hari ini. Minta untuk sambut majlis hari lahir di sekolah bersama kawan2. Memandangkan arjuna pertama Ummi AIMAN MUIZ BIN MOHD HILMI tak sempat untuk sambut masa hari lahirnya 11 Februari 2017 yang lalu, Ummi gabung sekali supaya tiada yang kecil hati. 

Semoga jadi anak yang soleh dan Al Quran sentiasa di hati. Ummi dan Ayah sayang kalian berdua.





Kek hijau tu potong kat rumah. Khas untuk Alif. 


Thursday, August 10, 2017

JATUH CINTA PADA TELEKUNG

Entri #12
Teks : Musba Hanim Haron
Foto : Koleksi Peribadi

Bismillah sebagai pembuka bicara.

Ummi tidak terfikir pun untuk menjahit telekung. Apa yang Ummi tahu dulu-dulu, bila cerita pasal jahit, tak jahit baju jahit langsir. Selain itu, sulam tangan dan jahit manik.

Semua bermula tahun 2008. Selepas Ummi berpindah ke Shah Alam mengikut suami. Alhamdulillah permohonan kali kedua untuk berpindah tempat kerja dari Melaka ke Selangor diluluskan. Bermula di situlah Ummi memohon izin suami untuk memulakan kembali minat menjahit Ummi.

Macam-macam kelas menjahit yang Ummi ikuti bermula dari tahun 2009. Ke kelas jahit baju kurung pada waktu malam seminggu sekali adalah kelas pertama yang Ummi ambil. Namun separuh jalan sahaja. Mungkin faktor penat dan masa yang tidak sesuai.

Beralih ke jahit langsir. Ingat mudah jahit langsir, namun jiwa Ummi tidak sesuai untuk menjahit langsir. Sempat untuk belajar 2 jenis jahit langsir sahaja. Ummi masih mencari-cari lagi apa jahitan yang sesuai dan kena dengan jiwa Ummi.

Mencari di internet kelas-kelas hujung minggu. Jumpa satu laman web untuk belajar menjahit tudung. Dalam hati Ummi macam sesuai dengan jiwa Ummi. Ummi pun daftar untuk masuk ke kelas yang diadakan di rumah pengajar. Atas sebab-sebab tertentu kelas terpaksa ditunda dan ditukar dengan kelas menjahit manik. Ummi ikuti juga kelas menjahit manik. Oh, seronok jugak jahit manik ni.

Selepas ikuti kelas jahit manik, ummi mula ambil sedikit demi sedikit tempahan. Jiwa rasa dah seronok dan kena dengan jiwa. Ummi mengkreatifkan diri dengan membuat kraf juga seperti brooch, scarf rambut berasaskan butang, manik dan kain felt. Namun, tidak sesuai jugak sebab anak-anak ketika itu kecil lagi. Suka sangat masukkan manik-manik ke mulut mereka. Stress pulak dibuatnya.

Antara hasil kraf dari Ummi

Brooch yang Ummi hasilkan
Kemudian, difikir kembali Ummi ikuti pula kelas menjahit tudung. Tudung berawning. Ketika itu tudung berawning baru nak popular. Alhamdulillah, lagi kena dengan jiwa Ummi. Dalam hati kali ni pasti menjadi nak buat bisnes jahit. Tergelak pula bila imbau kembali. Rezeki tidak disangka-sangka, pengajar yang mengajar Ummi, Kak Ifa namanya offer untuk jahitkan tudung kawannya. Berbunga-bunga sungguh hati ini. Dengan mesin jahit baru beli, mesin jahit tepi kakak bagi. Syukur sangat-sangat dengan rezeki yang Allah bagi. Sambil-sambil itu, dapatlah juga tempahan baiki awning tudung.

Antara tudung yang Ummi hasilkan

Mesin pertama Ummi
Mmmm.. Bila masa pula terjebak dengan telekung ye? Tak silap tahun 2010 Ummi terjumpa post dalam facebook Ummi berkaitan nota jahit telekung. Ummi beli nota tersebut dan belajar dari nota tersebut. memandangkan Ummi sudah ada basic menjahit tudung, bagi Ummi tiada masalah untuk fahami cara menjahit telekung. Bermula dari situlah Ummi mula bereksperimen membuat dan menghasilkan telekung dari rekaan Ummi.

Antara set telekung yang Ummi reka
Begitulah ceritanya bagaimana Ummi jatuh cinta pada telekung. Dari situ Ummi berjumpa sahabat-sahabat yang menjahit telekung di mana pemilik nota menjahit telekung Pn Zai Amaludin yang kami panggil Kak Zai menubuhkan Facebook Group untuk kami bertanya dan bertukar pendapat. Sehingga kini ukhuwwah kami terjalin dan semakin erat. Semoga usaha dan ilmu yang dicurahkan oleh Kak Zai dan sahabat-sahabat telekung Ummi diberkati dan dirahmati olehNya.

Amin...